LIGA INGGERIS
Rashford tenang harapkan slot ke Piala Dunia
Penyerang Manchester United, Marcus Rashford, tidak mahu berasa tertekan untuk memikirkan tempatnya dalam skuad England menjelang Piala Dunia 2018, Jun depan.
Selepas direhatkan dalam tempoh lama, Rashford kembali membarisi kesebelasan utama United ketika bertemu Liverpool semalam dan dia membuktikan kualitinya apabila dua jaringannya membolehkan The Red Devils menewaskan skuad kendalian Jurgen Klopp 2-1 di Old Trafford.
Gol di tempat sendiri itu menyaksikan pemain berusia 20 tahun itu menamatkan rentetan 10 perlawanan tanpa jaringan sambil disaksikan sendiri oleh pengendali England, Gareth Southgate.
Iklan
Rashford secara terbuka menjelaskan bahawa dirinya sentiasa tenang apabila bercakap soal tempat dalam pasukan The Three Lions.
“Saya tidak tahu bahawa Southgate berada di stadium. Bagus apabila dia dapat menonton perlawanan hari ini. Terdapat ramai pemain yang bersaing dan tentunya ia perkembangan yang baik apabila dia cuba melihat kesemuanya,” katanya.
Apabila ditanya sama ada dia memikirkan tempat ke Russia, Rashford menambah: “Tidak selalu. Southgate sentiasa berhubung dengan kami dan segalanya dibincangkan secara terbuka. Cara itu membantu pemain.”
Rashford memperdayakan Trent Alexander-Arnold sebelum menewaskan Loris Karius untuk menjaringkan gol pertama United dan dia berasa sangat bertuah dapat meraih peluang untuk mencipta jaringan selepas sentuhan awalnya agak teruk.
“Saya rasa kawalan bola saya pada mulanya tidak baik, jadi saya perlu memperbaikinya dengan pantas pada sentuhan kedua. Selebihnya, ia menjadi mudah buat saya.
“Gol sebegitu memberikan keyakinan, membolehkan saya tenang memanfaatkan peluang ketika gol kedua,” ujarnya lagi.
Must-Watch Video