Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Ramos: Bukan saya tentukan keputusan buat Madrid

sergioramos.jpg
Sergio Ramos berkata dia tidak terlibat dengan keputusan Real Madrid mengambil semula Zinedine Zidane sambil mendedikasikan kemenangan Sepanyol ke atas Malta, awal pagi tadi, buat jurulatihnya, Luis Enrique. 

Zidane menyertai semula Madrid menjelang waktu rehat antarabangsa selepas meninggalkan pasukan itu dengan tiga kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah secara berturut-turut, tahun lalu.

Jose Mourinho turut dikaitkan dengan kepulangan ke ibu kota Sepanyol itu, namun terdapat laporan mendakwa Ramos menjadi pendorong terhadap pemilihan Zidane selepas Santiago Solari dipecat.

Bercakap mengenai Zidane selepas Sepanyol menewaskan Malta 2-0 dalam pusingan kelayakan Euro 2020, Ramos berkata kepada wartawan: "Perubahan itu boleh mendorong kepada situasi positif. Kami pernah melalui waktu yang hebat dengan Zizou dan gembira dia kembali menyertai kami.

"Kepulangannya itu merupakan berita baik buat setiap pemain, ia bukanlah keputusan yang saya tentukan walaupun ada yang berpendapat seperti itu.

"Saya seorang kapten dan saya sekadar memberikan pendapat saya jika ditanya.

"Saya tidak pernah memberikan arahan dan tidak pernah mahu melakukannya," katanya.

Alvaro Morata menjaringkan dua gol untuk menewaskan Malta ketika Sepanyol kehilangan khidmat Enrique ekoran masalah keluarga.

Roberto Moreno mengambil alih pasukan itu sepanjang ketiadaan Enrique dan Ramos mendedikasikan kemenangan itu buat jurulatih Sepanyol tersebut.

"Walaupun jurulatih tidak bersama-sama kami, pasukan ini sudah bersedia sepenuhnya.

"Ia situasi yang sukar dan kami sudah dapat rasakan yang dia sedang mengalami masalah peribadi.

"Kami menghadiahkan kemenangan ini kepada dia dan keluarganya.

"Kami sudah melakukan apa yang kami perlu lakukan.

"Dalam pasukan ini, kami bagaikan sebuah keluarga dan setiap ahli dapat merasai setiap perasaan masing-masing," katanya.

Ramos melakukan penampilannya yang ke-164 buat Sepanyol dan kini hanya ketinggalan tiga lagi untuk menyamai rekod Iker Casillas.

"Iker seorang legenda dan saya berharap dapat memadam rekodnya itu.

"Ia tidaklah bersifat negatif tetapi sesuatu yang perlu diraikan dalam bola sepak," tambah pemain berusia 32 tahun itu.

Advertisement

Must Watch Video