Skip to main content

Bola Sepak

PSG tidak gusar Mbappe kurang rehat

kylian.jpg
PSG 4 STRASBOURG 1 

Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino, menegaskan bukan satu perjudian untuk mengetengahkan Kylian Mbappe dalam kemenangan 4-1 ke atas Strasbourg, awal pagi tadi, tiga hari sebelum pertembungan penting dengan Bayern Munich. 


Mbappe menyumbat dua gol ketika PSG mengalahkan Bayern 3-2 di Munich dalam pertemuan pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) minggu lalu. 

Penyerang Perancis itu sekali lagi memainkan pengaruh besar untuk menyumbangkan jaringan selain menjana satu lagi gerakan gol di Stade de la Meinau untuk membantu PSG kembali merapati jurang dengan pendahulu Ligue 1, Lille, dengan tiga mata.

PSG mendahului 3-0 dalam 45 awal permainan yang menyaksikan Pablo Sarabia dan Moise Kean turut menemui sentuhan pemusnah sebelum Mbappe dikeluarkan pada minit ke-89.

Ditanya oleh Canal + apakah itu satu tindakan yang berisiko, Pochettino menjawab: "Tidak. Anda perlu ingat bahawa dia bermain 88 minit ketika menentang Brest dalam Coupe de France dan perkara terbaik bagi Kylian ialah sentiasa bersiap sedia untuk beraksi. 

"Dia adalah orang pertama yang berasakan jika ada sesuatu yang salah. Dia akan menjadi yang pertama memberitahu saya seperti semua pemain lain.

"Kami adalah profesional, kami mempunyai kakitangan prestasi dan perubatan. Kami berusaha untuk membuat keputusan terbaik demi pasukan.

"Orang boleh mengatakan apa sahaja yang mereka mahukan, inilah bola sepak. Kadang-kadang kebenaran di pihak kami tetapi kami tidak dapat membuat semua orang gembira.

"Begitupun, Kylian adalah pemain yang gembira apabila berada di atas padang dan dia mengenali dirinya dengan sangat baik."


 


Pochettino ditanya apakah PSG yang menundukkan Bayern minggu lalu akan mewakili pencapaian terbaik kelab itu dalam beberapa tahun terakhir, pengurus dari Argentina tersebut sebaliknya enggan membuat penilaian sedemikian. 

"Saya tidak pasti. Terserah kepada anda untuk menghakimi. Bagi kami, tujuan kami adalah bersedia untuk Rabu ini," tambahnya.

"Sangat penting untuk mengalahkan Barcelona dalam pusingan 16 dan bagi saya, kami akan beraksi sebagai pasukan terbaik di dunia.

"Kami masih mempunyai 90 minit di mana kami akan menderita tetapi objektif kami adalah untuk mengalahkan mereka dan melangkah ke pusingan seterusnya."
 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video