LIGUE 1
PSG lakar kemenangan dramatik dalam masa kecederaan
METZ 2 PSG 3
Paris Saint-Germain (PSG) menyamai pungutan mata dengan pendahulu Ligue 1, AS Monaco, namun pasukan kendalian Unai Emery itu memerlukan masa kecederaan untuk meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas Metz biarpun pada suatu ketika mendahului 2-0 ketika permainan baru berusia 12 minit di Stade Saint-Symphorien.
Edinson Cavani dan Blaise Matuidi meletakkan PSG selesa di depan apabila menguasai rentak di awal permainan dalam aksi awal pagi tadi, dan perlawanan bertukar menjadi dramatik ketika aksi di atas padang terus berlanjutan.
Iklan
Begitupun, sepakan percuma menarik oleh pemain gantian, Yann Jouffre, menyemarakkan semangat kebangkitan tuan rumah dan seorang lagi pemain gantian, Cheick Diabate, menolak masuk hantaran lintang rendah untuk mengikat kedudukan buat pasukan yang diancam penyingkiran itu.
Satu lagi sepakan percuma Jouffre pada masa kecederaan pula singgah di palang go, tetapi drama mendebarkan berkenaan tidak hanya terhenti setakat itu sahaja apabila hantaran lintang Javier Pastore berjaya ditanduk masuk oleh Matuidi.
"Pertama sekali, kami gembira meraih kemenangan," kata Emery. "Kami meraih pengajaran berguna dalam perlawanan ini.
"Kami perlu belajar untuk mempercayai, untuk meneruskan persembahan dan menjaringkan lebih banyak gol.
"Matlamat kami pada separuh masa pertama adalah menjaringkan gol ketiga untuk membunuh permainan dan kalau anda fikir permainan sudah berakhir dengan 2-0, anda silap.
"Pencabar kami mengambil kesempatan itu untuk bangkit mengikat kedudukan 2-2."
Sehubungan itu, pendahulu Ligue 1, Monaco, kini mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding PSG, namun rentetan kemenangan kelapan PSG dalam kempen liga mampu menjadi penentu dalam perebutan gelaran.
Must-Watch Video