Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

PSG harus telan 'kemalangan' dalam UCL -- Tuchel

tuchel.jpg
Thomas Tuchel berkata Paris Saint-Germain (PSG) harus menelan kepahitan kegagalan dalam kempen Liga Juara-juara (UCL) dan akan "bangkit semula seperti juara" dalam Ligue 1.

PSG akan melakukan kunjungan ke Dijon awal pagi esok untuk perlawanan pertama mereka sejak disingkirkan secara dramatik daripada saingan Eropah oleh Manchester United, minggu lalu.

Marcus Rashford menyumbat gol penalti pada masa kecederaan untuk United membenam barisan bimbingan Tuchel itu hasil agregat 3-3 dan melepasi pusingan 16 menerusi peraturan gol di laman lawan.

Kekalahan 1-3 di Parc des Princes itu menyaksikan PSG, yang menang 2-0 di Old Trafford, menjadi pasukan pertama dalam sejarah UCL yang tewas dalam perlawanan kalah mati di sebalik berkelebihan dua gol hasil daripada pertemuan pertama. 

"Semua orang dilanda kekecewaan," kata pengurus PSG itu. 

"Sukar untuk menganalisis perlawanan itu. Saya fikir ia adalah satu kemalangan dan tiada penjelasan yang logik. Kami mengawal permainan tetapi ketegangan semakin meningkat apabila aksi terus berlanjutan. 

"Beberapa hari pertama selepas kekalahan itu, pemain bagaikan tidak mahu bermain tetapi mereka tidak mempunyai pilihan lain. Kami perlu menyudahkan musim ini.

"Anda perlu tahu bagaimana untuk menerima kekalahan dan teruskan perjuangan. Itulah sukan.

"Kami mempunyai peluang untuk bangkit seperti juara dan itulah cabaran kami. Bagi saya dan kakitangan kejurulatihan, untuk setiap hari mendorong setiap pemain untuk bermain (awal pagi esok) adalah tonik terbaik."

PSG, yang tersingkir daripada Coupe de la Ligue, Januari lalu, memiliki jurang sebesar 14 mata untuk mengetuai Ligue 1 selain sudah layak ke separuh akhir Coupe de France.

Tuchel menegaskan kegagalan dalam UCL tidak akan mengendurkan hasratnya untuk membantu kelab itu menjulang gelaran berkenaan pada masa depan.

"Saya mahu kekal di sini untuk jangka masa yang panjang dan menikmati kejayaan. Saya mahu berkembang dengan kelab ini, ia satu hasrat yang jelas," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video