Syed Yazid Syed Omar dipilih sebagai presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) selepas meraih sebanyak 15 undian dengan mengenepikan Datuk Abdullah Sani yang memungut 12 undian dalam Majlis Pemilihan Ahli-Ahli Jawatankuasa (KLFA), sebentar tadi.

Syed Yazid diberi amanat untuk menggalas tanggungjawab itu selama empat tahun sehingga 2028.

Isu tunggakan gaji yang membelenggu pemain Kuala Lumpur City adalah antara tugas pertama yang mahu diselesaikan selain membuka peluang lebih banyak penaja untuk melabur.

"Saya kena tengok segala tunggakan gaji, ikutkan saya tidak tahu lagi berapa jumlah tunggakan gaji, EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).




"KLFA memiliki 100 peratus pemilikan KL City jadi saya akan perbaiki KL City daripada segi pentadbiran dan kewangan.

"Dan ini akan diputuskan dalam mesyuarat KLFA," katanya.