Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Pogba, Rashford penting untuk United -- Solskjaer

pogba.jpg
Paul Pogba dan Marcus Rashford amat penting untuk masa depan Manchester United, kata pengurus pasukan itu, Ole Gunnar Solskjaer.

Solskjaer dilantik sebagai pengurus tetap kelmarin dengan menandatangani kontrak selama tiga tahun di Old Trafford selepas memaparkan kecemerlangannya sejak menggantikan Jose Mourinho, Disember lalu.

Pogba dan Rashford merupakan antara pemain yang semakin menyerlah sejak Solskjaer mengambil alih pasukan walaupun mereka kini dilaporkan menjadi perhatian Real Madrid dan Barcelona.

Pogba pernah mendedahkan ketika waktu rehat antarabangsa baru-baru ini bahawa ia merupakan impiannya untuk beraksi dengan skuad kendalian Zinedine Zidane itu di Madrid.

Namun, Solskjaer lantas membentangkan kepentingan gandingan itu dalam pasukannya.

"Mereka amat penting untuk masa depan pasukan ini," katanya dalam sidang media.

"Itulah sasaran kami untuk kelab ini, untuk mencapai apa yang pernah kami kecapi sebelum ini dan dengan jangkaan seperti itu, sudah pasti kami mahu membina pasukan yang cukup kuat dan dihormati dalam sejarah kelab ini."

Seorang lagi pemain yang mengagumkan Solskjaer adalah Victor Lindelof, yang menjadi nadi utama di benteng pertahanan United musim ini.

Pertahanan tengah kebangsaan Sweden itu mendedahkan impak yang dibawa Solskjaer ke atas persembahannya selama ini.

"Dia melayani setiap pemain dengan baik," katanya dalam laman web rasmi pasukan.

"Dia banyak membantu saya. Seperti yang saya katakan, dia datang dengan satu senyuman yang mesra.

"Dia menyarankan saya agar menonjolkan diri di atas padang dan melakukan perkara-perkara yang saya mahir.

"Saya berasakan saya telah banyak melakukannya, namun ia sentiasa lebih baik untuk mendengarnya daripada jurulatih kerana ia akan memberikan anda keyakinan," katanya.

Advertisement

Must Watch Video