Mauricio Pochettino berkata masa depannya tidak perlu dipertikaikan memandangkan dia gembira di Paris Saint-Germain (PSG) sekalipun dikaitkan menjadi sasaran utama Manchester United bagi menggantikan Ole Gunnar Solskjaer.
United memecat Solskjaer, kelmarin, berikutan dibelasah 1-4 di Watford dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum melantik Michael Carrick sebagai pengurus sementara.
The Red Devils bercadang untuk melantik pengurus sementara hingga akhir musim ini, tetapi khabar angin semakin bertiup kencang bahawa mereka cuba memujuk Pochettino agar mengambil peranan itu secara tetap dengan lebih awal.
Bekas pengurus Tottenham itu, bagaimanapun, menegaskan dia tidak mahu meninggalkan PSG tatkala jaguh Ligue 1 itu dalam persiapan untuk menghadapi Manchester City dalam Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.
Dia memberitahu media: "Saya fikir saya sudah menjelaskannya. Saya kata saya masih mempunyai kontrak hingga 2023. Musim ini dan seterusnya. Saya gembira di PSG. Itulah hakikatnya. Ia tidak perlu dipertikaikan, saya gembira di Paris."
Pengurus dari Argentina berusia 49 tahun itu mula mengambil alih jawatan berkenaan pada Januari lalu dan dia komited dengan tugas sedia ada.
Ditanya lagi mengenai hubungannya dengan United, dia berkata: "Kami di sini bukan untuk bercakap tentang itu. Saya menghormati kelab saya, PSG. Apa yang dilakukan oleh kelab lain, ia tidak membimbangkan saya.
"Saya tidak mahu mengulas mengenainya lagi kerana apa sahaja yang saya akan katakan atau tidak, tetap akan menjadi bahan berita. Ketika saya di Espanyol, saya pernah berkata saya mahu mengenali Sir Alex (bekas pengurus United, Ferguson).
"Jika saya katakannya sekali lagi, ia akan terus dibangkitkan. Saya gembira di Paris. Saya suka kelab ini, saya sayang penyokong. Seronok berada di PSG. Kami sedang mendahului Ligue 1 dan kami bakal berdepan City."
Shaiful Shamsudin
Tue Nov 23 2021