LIGUE 1
Pochettino beri ruang kepada Neymar kembali ke tahap terbaik
Neymar hanya perlu mencari rentak untuk menemui semula prestasi terbaiknya, kata Mauricio Pochettino.
Bintang Brazil itu menempuhi satu lagi episod kecederaan bersama Paris Saint-Germain (PSG) yang menyaksikan pemain berusia 30 tahun itu hanya membuat 22 penampilan pada musim ini, kurang 16 perlawanan berbanding Kylian Mbappe yang boleh dikatakan telah mengatasi bekas penyerang Barcelona tersebut sejak mereka berdua tiba di Paris pada 2017.
Neymar memberikan isyarat bahawa sentuhannya masih berkualitinya menerusi dua gol menarik ketika PSG membelasah Lorient 5-1 minggu lalu, namun Mbappe terus mencuri tumpuan dengan gol berganda dan tiga bantuan jaringan sementara Lionel Messi turut mencetak nama selaku penjaring.
Iklan
Kelibat Neymar masih kreatif memandangkan dia mendahului statistik hantaran penting (lima) dan melakukan percubaan tepat tertinggi di samping Mbappe iaitu tiga, manakala dua golnya membawanya menghampiri jaringan yang ke-200 di Eropah sejak dia tiba dari Santos pada 2013.
12 sumbangan gol Neymar musim ini sudah pasti tenggelam dengan pencapaian Mbappe (45), tetapi Pochettino yakin bintang Amerika Selatan itu mampu mengembalikan kemuncak prestasinya.
"PSG menandatangani Neymar kerana kualitinya dan ia sudah terbukti di depan mata," katanya dalam sidang akhbar menjelang kunjungan ke Clermont, awal pagi esok.
![](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://d3lbfr570u7hdr.cloudfront.net/stadiumastro/media/sa-images/2022/04-april/9/neymar.jpeg)
"Dia mengalami kecederaan, prestasinya ada pasang surut. Neymar mengalami kecederaan sebaik saya tiba di PSG.
“Kami bekerja keras untuk mendapatkannya kembali dan seperti setiap penyerang, dia memerlukan rentak dan perlu beraksi untuk berasa yakin.
"Saya tidak meragui bahawa Neymar akan terus mempamerkan kualitinya. Dia pasti mengintai lebih banyak kejayaan."
Must-Watch Video