PKNP FC mengotakan janji untuk bangkit daripada dua kekalahan sebelum ini apabila membenam Terengganu FC (TFC) 2-1 di Ipoh, sebentar tadi.
Sejurus wisel permulaan ditiupkan, kedua-dua pasukan bersaing secara seimbang dan saling mengasak.
Advertisement
Pada minit ke-12, larian solo Do Donghyun melepasi dua benteng pertahanan PKNP, namun bola tendangannya tidak menepati sasaran.
TFC terus mengasak dan Abdul Malik Mat Ariff hampir membuka tirai jaringan selepas membuat satu sepakan gunting tetapi bola melepasi palang gol PKNP.
TFC berada di hadapan apabila percubaan penyerang berbisa, Tchetche Kipre, pada minit-29 menuju masuk ke gawang PKNP melepasi jangkauan penjaga gol tuan rumah, Shafiq Afifi Suhaimi.
Tersentak dengan gol TFC itu, PKNP memperkemaskan permainan yang menyaksikan tandukan Ritus Kraujklis pada minit ke-33 ditangkap kemas Muhammad Syazwan Yussof.
Kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat perlawanan separuh masa pertama.
Tujuh minit separuh masa kedua bermula, PKNP dihadiahkan sepakan penalti apabila pertahanan TFC, Nasrullah Haniff Johan, menampan bola dengan tangan.
Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi tidak mempersia-siakan peluang keemasan itu untuk mengikat kedudukan 1-1.
Shahrel Fikri sekali lagi berbisa apabila menjaringkan gol kedua PKNP pada minit ke-62 dengan menyudahkan hantaran lintang Deevan Raj.
TFC cuba bangkit pada babak penghujung perlawanan, namun kedudukan kekal 2-1 milik PKNP untuk menceriakan penyokong tuan rumah.
KEPUTUSAN LAIN:
KEDAH 1 KELANTAN 2
K LUMPUR 3 MELAKA 4