Skip to main content

Bola Sepak

PKNP dibenar guna Stadium Perak hanya pada Ramadan

kevin.jpg
Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Football League (MFL), Kevin Ramalingam, mengesahkan bahawa permohonan PKNP FC untuk menggunakan Stadium Perak sudah mendapat kelulusan pihaknya, namun bagi aksi pada bulan Ramadan sahaja.

Skuad PKNP sebelum ini menerima tamparan apabila gelanggang tuan rumah mereka musim ini, Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang tidak dapat digunakan gara-gara masalah lampu limpah.

Insiden itu berlaku sebelum sepak mula perlawanan PKNP menentang Selangor 23 Mei lalu dan proses baik pulih lampu limpah itu mengambil masa sebulan.

Memaksa perlawanan ditunda ke tarikh lain, termasuk dua perlawanan pada awal Jun, PKNP mendapat khabar gembira apabila diberi lampu hijau untuk kembali ke gelanggang sebenar, Stadium Perak.

"Pasukan PKNP mendapat kelulusan untuk menggunakan Stadium Perak untuk perlawanan-perlawanan di dalam bulan Ramadan ini.

"Tetapi, kelulusan itu cuma untuk perlawanan bulan Ramadan, bukan perlawanan sepenuhnya. 

"Bagi pendapat kami, PKNP mungkin akan kembali ke Stadium Batu Kawan selepas ini dan mungkin akan bermain pada sebelah petang," kata Kevin.

Ini juga bermakna, skuad PKNP akan beraksi buat kali pertama di Stadium Perak musim ini.

Difahamkan, PKNP kini dalam permohonan untuk menggunakan stadium berkenaan sehingga akhir musim ini.

Advertisement

Must Watch Video