Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Pickford berhak dilabel pilihan utama England

tomheaton.jpg
Tom Heaton percaya Jordan Pickford berhak untuk bergelar penjaga gol nombor satu England.

Penjaga gol Everton, Pickford, merupakan antara wira England dalam kempen Piala Dunia 2018, dengan menafikan sepakan penalti Carlos Bacca bagi memastikan skuad kendalian Gareth Southgate itu mengatasi Colombia untuk melangkah ke separuh akhir.

Pemain berusia 25 tahun itu, bagaimanapun, menghadapi saat sukar selepas melakukan beberapa kesilapan ketika beraksi bersama kelab dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Heaton terlepas Piala Dunia kerana mengalami kecederaan dan bakal bersaing dengan rakan senegara, Nick Pope dan Joe Hart, untuk kembali dalam kesebelasan utama Burnley.

Dia kini menjadi saingan buat Pickford menjelang aksi kelayakan Euro 2020 bertemu Republik Czech dan Montenegro tetapi masih lagi memandang tinggi terhadap pencapaian rakan senegaranya itu.

"Saya berasakan dia menampilkan aksi cemerlang apabila menyarung jersi England. Dia telah mempamerkan aksi cemerlang dalam Piala Dunia," kata Heaton.

"Persembahannya sungguh mantap. Bukan mudah untuk memikul tanggungjawab selaku penjaga gol England."

Heaton dan rakan sepasukan, James Tarkowski, disertai oleh seorang lagi pemain Burnley, Dwight McNeil, dalam sesi latihan di St George's Park, dengan pengendali pasukan, Gareth Southgate, menjemput pemain muda itu dari skuad B-20 untuk melengkapkan skuad senior.

"McNeil telah menampilkan peningkatan sejak menyertai Burnley, sangat memberangsangkan," kata Heaton.

"Saya berpendapat dia merupakan salah seorang yang berpotensi untuk menjadi lebih berkualiti."
 

Advertisement

Must Watch Video