Kapten Buriram United dan bintang Thailand, Theerathon Bunmathan, menerima hukuman berat daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berikutan kekasaran tidak masuk akal dilakukannya ke atas pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi.

Dalam pertemuan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di antara JDT dan Buriram di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri bulan lalu, Theerathon dilayangkan kad merah selepas lensa video bantuan pengadil (VAR) mengesan pertahanan sayap itu memicit kemaluan Arif Aiman sehingga bintang tuan rumah itu terbaring.

Media-media Thailand melaporkan bekas kapten skuad kebangsaan mereka itu menerima denda daripada AFC sebanyak $AS2,000 (RM9,006) selain tambahan penggantungan dua perlawanan (keseluruhan tiga) atas tindakannya yang bertentangan dengan semangat kesukanan.

Ia menyaksikan pertahan berpengalaman berusia 35 tahun itu akan terlepas dua aksi Liga Timur ACLE menentang Ulsan HD dan Gwangju, masing-masing pada 12 dan 18 Februari ini.

Sebagai rekod Buriram kini sedang menduduki tangga kelapan Liga Timur ACLE dengan lapan mata manakala JDT pula berada di tangga keenam dalam liga 12 pasukan itu, juga dengan lapan mata.