Skip to main content

Bola Sepak

Piala Sanix akan lalui proses pemilihan ketat

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

piala-sanix-opening.jpg
Kejohanan Bola Sepak Piala Sanix akan menjadi lebih sukar apabila pihak penganjur sudah memulakan cadangan untuk mengadakan proses pemilihan di negara-negara terlibat menjelang edisi yang akan datang.

Penganjur kejohanan, Global Arena, sudah merangka kertas cadangan untuk meningkatkan mutu kejohanan itu.

Ia selari dengan peningkatan prestasi kelab-kelab remaja Jepun yang turut melalui proses kelayakan ketat bagi mengenal pasti pasukan terbaik yang layak bertanding.

"Proses pemilihan bagi pasukan tempatan amat ketat dan ia dikekalkan dalam tempoh beberapa tahun ini.

"Kami sentiasa mempunyai empat hingga lapan pasukan terbaik dari Jepun yang merupakan juara daripada beberapa kejohanan berbeza. 

"Mereka adalah juara daripada kejohanan kelab, sekolah tinggi dan kejohanan campuran bagi kelab dan sekolah.

"Bagi wakil tempatan, ia jelas diwakili oleh pasukan-pasukan terbaik. 

"Bagaimanapun, kami telah menerima cadangan daripada rakan penganjur seperti Agensi Sukan Korea Selatan untuk mengadakan pusingan awal bagi menapis pasukan yang akan menyertai Piala Sanix," kata Pengurus Bahagian Antarabangsa Global Arena, Stefan Getov.

Dalam pada itu, Global Arena turut bercadang untuk menambah kuota pasukan luar kepada lapan pasukan.

"Buat waktu ini, kami mempunyai empat pasukan dari luar negara dan lapan daripada Jepun.

"Jika boleh, saya mahu menjadikannya seimbang. 

"Bagaimanapun, tahap sukan di peringkat sekolah tinggi Jepun amat baik, jadi ia mendatangkan kesukaran untuk menjadikan ia kejohanan yang seimbang," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video