Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, meramalkan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-0 dalam aksi final Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.

Wan Jamak yang juga bekas pemain kebangsaan serta pemain dan jurulatih skuad Johor era 70-an dan 80-an juga meramalkan aksi final kali ini akan selesai dalam tempoh 90 minit.

“Saya buat ramalan ini bukan sebab saya orang Johor dan juga bekas pemain Johor. Memang banyak bezanya antara ‘zaman saya’ dengan zaman sekarang ni.

“Sekarang ni, saya lihat terlalu banyak perubahan bagi pasukan Johor atau sekarang JDT sejak TMJ (Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim), ambil alih terutama dengan pencapaian-pencapaian yang memberangsangkan.

“Bagi saya, tiada masalah untuk JDT mengatasi TFC, tetapi sesiapapun tidak boleh memperkecilkan TFC kerana di atas kertas kelebihan miik JDT, tetapi TFC pasti akan keluar bermain rasanya bukan 100 malah 200 peratus.

"Sebenarnya aksi atas padang akan menentukan pemenang kali ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Untuk rekod, Wan Jamak pernah membantu Johor memenangi Piala Malaysia selaku penolong jurulatih pada 1985.

Tambah Wan Jamak, faktor pengalaman juga membezakan di antara kedua-dua pasukan dalam aksi final kali ini.

Katanya, JDT lebih banyak didedahkan kepada perlawanan-perlawanan di peringkat Asia termasuk beraksi dengan pasukan-pasukan handalan Eropah berbanding TFC.




Sementara itu Wan Jamak berkata, kekalahan 0-5 skuad Harimau Selatan itu kepada Kawasaki Frontale dalam saingan Liga Juara-Juara AFC baru-baru ini tidak akan menjejaskan persiapan menjelang aksi final berkenaan.

Prestasi skuad kendalian Esteban Solari itu juga masih di tahap yang memuaskan dengan kesebelasan pemain tetap dilihat bersemangat untuk beraksi.

“Bagi saya, kekalahan tu tak berikan kesan sebabnya, siapa di belakang JDT? TMJ.

Dan baginda selalu berikan motivasi terbaik untuk pemain-pemain,” katanya.


Kredit: Sinar Harian