Skip to main content

Bola Sepak

Piala Malaysia: Tchetche mahu calar rekod bersih Selangor

kipre-tchetche-290717.jpg
Kelebihan selaku tuan rumah mahu dimanfaatkan sepenuhnya oleh penyerang Terengganu, Kipre Tchetche, untuk mengutip tiga mata bertemu pendahulu Kumpulan D, Selangor, dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Menurut Tchetche, Terengganu berpeluang cerah untuk mencalarkan rekod skuad kendalian P. Maniam itu jika menampilkan corak berdisiplin serta mengawal pergerakan pemain pasukan lawan.

Semangat juang yang tinggi sejak beberapa perlawanan lalu turut menjadi senjata utama skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim, selain mengharapkan sokongan padu daripada ribuan penyokong sendiri.

“Kami masih belum tewas sejak lapan perlawanan lalu dan ia petanda yang baik.

“Walaupun seri dalam tiga perlawanan Piala Malaysia, beraksi di Kuala Terengganu adalah peluang terbaik mengalahkan Selangor. 

“Semua pemain perlu bekerja lebih keras dan mengekalkan kerjasama berpasukan,” ujar Tchetche.

Irfan pula mengakui akan membuat sedikit perubahan di bahagian tengah selepas seri 2-2 dengan Negeri Sembilan, Selasa lalu.

Jelasnya, beberapa pemain agak keletihan, termasuk pemain lincah, Mohd Faiz Nasir, namun khidmat Tchetche masih diperlukan untuk memburu kemenangan pertama buat skuad Penyu.

“Sumbangan Tchetche dalam setiap perlawanan harus dipuji. Jika kami mempunyai seorang lagi pemain yang lebih laju, Terengganu mampu menjaringkan lebih banyak gol,” kata Irfan.

Advertisement

Must Watch Video