Skip to main content

Bola Sepak

Piala Malaysia: Selangor, Terengganu tepati ramalan ke separuh akhir

caion-piala-malaysia-selangor-negeri-sembilan.jpeg
Selangor FC dan Terengganu FC menepati ramalan layak ke separuh akhir Piala Malaysia 2022 selepas mengatasi lawan masing-masing secara agregat dalam perlawanan suku akhir kedua sebentar tadi.

Aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menyaksikan Selangor memanfaatkan kelebihan dua gol yang dibawa daripada perlawanan pertama di Petaling Jaya untuk meneruskan kemaraan dengan kemenangan agregat 4-2 ke atas Negeri Sembilan FC.

Selangor terlebih dahulu di depan apabila Herlison Caion merobek gawang Syihan Hazmi selepas menerima hantaran Hein Htet Aung pada minit ke-10.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan memberikan respons dengan melakukan asakan bertali arus dan berhasil memperoleh sepakan penalti selepas Quentin Cheng menarik Zamri Pin Ramli dan kesempatan itu dimanfaatkan Matheus Alves untuk menyamakan kedudukan.

Yazan Al Arab kemudian melakukan sepakan voli menarik dari luar kawasan penalti ke sebelah tiang kiri Syihan untuk kembali memberikan kelebihan buat The Red Giants, yang hanya bertahan selama tiga minit sebelum Zaquan Adha memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gawang pelawat untuk mengikat kedudukan sebelum wisel rehat.

Aksi menarik terus disajikan kedua-dua pasukan dalam babak kedua tetapi tiada sebarang pertambahan jaringan untuk Selangor menempah pertemuan dengan Terengganu bagi penentuan ke final.

Terengganu, dalam pada itu, tidak berdepan masalah untuk menewaskan Kuala Lumpur City dalam satu lagi perlawanan suku akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Berbekalkan kelebihan satu gol yang diperoleh di Cheras minggu lalu, Manuel Ott, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman, kesemuanya menemui sasaran dalam pertemuan kali ini, sekali gus menjadikan jaringan Hakimi Azim Rosli buat KL City tidak lagi bermakna.

Terengganu layak ke separuh akhir dengan kemenangan agregat 4-1.

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found