Skip to main content

Bola Sepak

Piala Malaysia: JDT, Melaka cengkam puncak kumpulan

ahmad-hazwan-bakiri.jpg
Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Melaka United meneruskan momentum kemenangan dalam Piala Malaysia apabila mengesahkan kemenangan ketiga, sebentar tadi. 

Melaka melakar kemenangan pertama di Stadium Jebat dalam kancah ini, tetapi dalam separuh masa pertama mereka tersentak apabila gol pendahuluan menerusi pemain import, Sony Norde, dipadamkan oleh pemain Kelantan United kelahiran Jepun, Shuhei Fukai. 

Namun, Adriano Narcizo kembali meletakkan Sang Kancil di depan selepas bijak menghidu ruang dari penjuru kiri kotak penalti pelawat -- sembilan minit selepas separuh masa kedua berlangsung sekali gus terus menerajui Kumpulan C berbekalkan kemenangan 2-1. 

Sementara itu, Harimau Selatan turut garang dalam kunjungan ke Kota Kinabalu yang menyaksikan Ahmad Hazwan Bakri menemui sentuhan pemusnah seawal minit keempat akibat salah faham di bahagian pertahanan Sabah sebelum ledakan menarik daripada Gonzalo Cabrera. 

Anak buah Benjamin Mora itu memiliki beberapa peluang lagi untuk melebarkan kedudukan tetapi kedudukan 2-0 sejak awal permainan itu sudah memadai untuk mereka terus menguasai Kumpulan D.





Dalam satu lagi pertembungan kumpulan yang sama, Darren Lok membuktikan sentuhan berbisanya dalam kempen Piala Malaysia musim ini dengan menghadiahkan kemenangan sulung Petaling Jaya (PJ) City apabila membenam Kelantan 3-1. 

Selepas Darren membuka tirai jaringan, gol kedua The Phoenix terhasil dalam tempoh 19 minit apabila dijana oleh R. Kogileswaran sebelum pertahanan, Christos Intzidis, memastikan Kelantan dalam persaingan dengan sepakan leret yang berpunca daripada sepakan percuma untuk menutup separuh masa pertama dengan 1-2. 

Darren kemudian mencetak satu lagi gol pada minit ke-81 melalui satu tampanan di depan pintu gol, secara tidak langsung kembali menghidupkan peluang barisan kendalian P. Maniam itu untuk ke suku akhir. 






 

Advertisement

Must Watch Video