Skip to main content

Bola Sepak

Piala Malaysia: 10 pemain tidak jejas kemaraan KL City ke suku akhir

kipre.jpg
KL City FC memastikan kemaraan ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2023 apabila mengatasi Penang FC 1-0 dalam aksi kedua pusingan 16 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Kemenangan tersebut memastikan pengurus baharu, Nenad Bacina, memperoleh kemenangan pertama bersama The City Boys dengan meraih kemenangan 5-0 secara agregat susulan kemenangan 4-0 dalam aksi pertama.

KL City bakal membuat penghitungan suku akhir bertemu pemenang perlawanan di antara Sri Pahang FC dan Harini FT yang akan bertembung Ahad ini ketika skuad bimbingan Fandi Ahmad itu mendahului dengan agregat 3-2.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Cheras, KL City terpaksa menyerap tekanan pelawat yang lebih kerap melancarkan serangan.

Tuan rumah bagaimanapun berdepan masalah apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal minit ke-15 apabila Giancarlo Gallifuoco dilayangkan kad merah kerana mengasari Soony Saad sebelum sepakan percuma pemain import itu diselamatkan Azri Ghani.

Percubaan tepat KL City hanya muncul pada minit ke-28 menerusi Tchetche Kipre namun rembatannya tepat ke dakapan Azfar Arif Mohd Sukri sebelum mereka mensia-siakan sepakan percuma pada sudut yang baik di penghujung separuh masa pertama.

Di sebalik beraksi dengan 10 pemain, KL City berjaya mendahului perlawanan apabila menjaringkan gol pada minit ke-69 menerusi Kipre.

Kedudukan kekal 1-0 memihak KL City sehingga wisel penamat dibunyikan.

Advertisement

Must Watch Video