Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, menamatkan perlumbaan Grand Prix Indonesia di litar Mandalika di tempat ke-14 sebentar tadi.
Pelumba berusia 19 tahun itu terpaksa memulakan perlumbaan dari belakang grid kerana dikenakan penalti gara-gara memperlahankan jenteranya selepas mencatat masa sepusingan terbaik dalam sesi kelayakan yang mengganggu pelumba lain semalam.
Bagaimanapun, dia berhasil menghampiri kelompok hadapan dan pada awalnya dapat menamatkan perlumbaan di tempat ke-10.
Namun, dengan penalti 3 saat yang dikenakan gara-gara insiden bersama Joel Kelso dalam lap terakhir, pelumba negara itu disahkan menduduki tempat ke-14 selepas perlumbaan berkenaan.