Cristiano Ronaldo memenangi trofi pertamanya bersama Al-Nassr apabila memenangi Piala Juara-Juara Kelab Arab buat kali pertama kelab itu selepas menjaringkan dua gol ketika memperoleh kemenangan 2-1 pada masa tambahan ke atas pasukan Arab Saudi, Al-Hilal awal pagi tadi di Stadium King Fahd.
Ronaldo gagal menjulang trofi musim lalu selepas berpindah ke Al-Nassr, yang menamatkan saingan naib juara Liga Pro Saudi, namun pemain berusia 38 tahun itu menjaringkan enam gol dalam kejohanan itu untuk menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak dalam perjalanan menjulang kejuaraan.
Kejohanan itu dimainkan oleh kelab Arab terkemuka di rantau ini dan termasuk pasukan dari Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Iraq, Maghribi, Tunisia dan Algeria.
Skuad Al-Nassr yang dibarisi bintang, yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain, mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama dengan pemain baru, Sadio Mane, Seko Fofana dan Marcelo Brozovic semuanya dinafikan oleh penjaga gol, Mohammed Alowais.
Permainan kekal tanpa jaringan sehingga enam minit separuh masa kedua, apabila pemain Al-Hilal, Malcom, melakukan hantaran silang yang disambar masuk rakan senegara Brazil, Michael, yang meletakkan pasukannya di hadapan.
Melakukan 'siuu' ketika meraikan jaringannya, seolah-olah membakar semangat Ronaldo dan kapten Portugal itu menyamakan kedudukan pada minit ke-74 apabila dia mendapat hantaran silang rendah dari bek kanan, Sultan Al-Ghannam untuk menjaringkan gol untuk perlawanan kelima berturut-turut.
Al-Nassr terpaksa mengharungi baki perlawanan dengan 10 pemain selepas pertahanan Al-Nassr, Abdulelah Al-Amri, dilayangkan kad merah namun mereka berjaya mengheret Al-Hilal ke masa tambahan.
Ronaldo kemudian menggandakan jaringannya pada separuh masa tambahan pertama apabila dia menanduk masuk sekaligus memastikan kejuaraan pertamanya di bumi Arab Saudi.
Ammar Hakim
Sun Aug 13 2023