PIALA FA
Piala FA: UiTM enggan dabik dada
Penyerang UiTM FC, Dao Bakary, muncul pemusnah terhadap bekas pasukannya, Perlis, menerusi dua gol dalam pertembungan Piala FA di Stadium UiTM, Shah Alam, malam tadi yang berkesudahan 3-0.
"Kami perlu bekerja keras lagi.
"Walaupun menang 3-0, perlawanan ini tidak selesa seperti yang diharapkan," ujar ketua jurulatih UiTM, Wan Mustaffa Wan Ismail.
Iklan
Cemerlang mengharungi aksi awal Liga Perdana dengan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan, keyakinan pemain UiTM begitu tinggi ketika melayan kunjungan wakil Piala FAM itu.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk berada di depan pada minit ke-11 apabila sentuhan Bakary menerjah gawang Perlis selepas bijak membuat tindakan susulan daripada sepakan percuma Nursalam Zainal Abidin.
Sepuluh minit kemudian, UiTM hampir menggadakan kelebihan, namun hantaran cantik Nursalam gagal diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan oleh ketua pasukan, Afif Ashraf.
Selang seminit, Perlis dihidangkan peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan menerusi Razif Hafizi Abdul Ghani tetapi percubaannya dinafikan Soffuan Tawil.
Tuan rumah kembali meningkatkan asakan pada babak kedua dan usaha mereka untuk menambah jaringan berhasil pada minit ke-60 menerusi sepakan percuma Bakary.
Jaringan itu mematikan langkah Perlis apabila dibolosi buat kali ketiga pada minit ke-88 hasil jaringan pemain gantian, Asnan Awal Hashim, sekali gus melengkapkan kemenangan 3-0 UiTM.
"UiTM merupakan antara tiga pasukan terbaik dalam Liga Perdana ketika ini.
"Walaupun begitu, saya tetap berbangga dengan pemain-pemain saya," kata jurulatih Singa Utara, Manja Man, yang juga bekas pemain kebangsaan.
Must-Watch Video