Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, berharap kemenangan dramatik pasukannya ke atas seteru tradisi, Liverpool, dalam suku akhir Piala FA awal pagi tadi akan menjadi titik perubahan buat mereka musim ini.

Pengendali berbangsa Belanda itu ternyata gembira dengan kemenangan 4-3 yang diraih pasukannya itu selepas masa tambahan hasil jaringan kemenangan Amad Diallo sambil dua pesaing empat teratas, Tottenham dan Aston Villa, kedua-duanya keciciran mata dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini.

"Setiap pasukan memerlukan momen dalam satu musim dan kami tidak mungkin akan dapatkan lagi momen seperti ini," kata Ten Hag.

"Ini mungkin akan menjadi momen di mana pasukan ini boleh mendapatkan keyakinan dan tenaga untuk mereka melakukan kerja-kerja yang luar biasa.

"Saya fikir apabila anda mampu menewaskan Liverpool dengan cara yang kami lakukan, anda boleh menewaskan mana-mana lawan -- di tahap ini, ia terpulang kepada kami.

"Hari ini, kami dapat melakukannya," katanya.