Ketua jurulatih England, Gareth Southgate, percaya Harry Kane sudah melupakan episod kekecewaan dalam Piala Dunia di Qatar yang lalu.

Ketua pasukan The Three Lions itu gagal melunaskan satu sepakan penalti ketika mereka tumbang kepada Perancis dalam suku akhir, secara tidak langsung menyaksikan England terus kempunan untuk mengecapi kejayaan antarabangsa sejak edisi 1966.

Kane akan mengatasi rekod jaringan antarabangsa milik Wayne Rooney sekiranya dia menyempurnakan sepakan penalti itu selain berpotensi membimbing England ke suku akhir, tetapi percubaannya melewati palang dan Three Lions tewas 2-1.

Dia tidak bersendirian dalam kesedihan itu memandangkan Bukayo Saka, Marcus Rashford dan Jadon Sancho turut berdepan igauan serupa kepada Itali di Wembley dalam final Euro 2020.

Bagaimanapun, Southgate berasakan ia tidak akan menyekat penyerang Tottenham itu sambil menyokongnya untuk muncul sebagai salah seorang pemain hebat sepanjang zaman.

"Kita boleh lihat melalui tahap persembahan dan jaringan untuk kelabnya, dia telah melupakan kekecewaan lalu," katanya.




"Dia sedar bahawa motivasinya akan melonjak esok untuk kembali dan membuktikan kepada semua orang mengenai keupayaannya bersama England. Bagi kami ia adalah satu kedudukan yang baik.

"Adalah sukar untuk membandingkannya dengan penyerang pada zaman berbeza, terdapat ramai yang tidak saya saksikan kerana saya masih belum lahir lagi ketika itu. Tetapi atas angkanya sahaja, ia sudah pun meletakkannya di bahagian atas kumpulan itu.

"Dia menawarkan sumbangan besar buat pasukan menerusi kualiti hantaran, visi, sentuhannya, dia pemain yang cemerlang dan kami sangat bertuah memilikinya."