Virgil van Dijk melahirkan rasa simpatinya terhadap Sadio Mane selepas bekas rakan sepasukannya di Liverpool itu perlu diketepikan daripada aksi pembukaan Piala Dunia di antara Senegal menentang Belanda.

Tempat Mane dalam kejohanan di Qatar itu diragui memandangkan dia mengalami kecederaan fibula ketika mewakili Bayern Munich, tetapi dia tetap disenaraikan dalam skuad 26 pemain juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) berkenaan.

Bagaimanapun, Ahli Lembaga Persekutuan Bola Sepak Senegal, Abdoulaye Sow, semalam berkata bahawa Mane akan tersisih dalam perlawanan pembukaan.

Van Dijk -- yang terlepas kempen Euro 2020 bersama Belanda tahun lalu selepas mengalami kecederaan ligamen lutut -- bersimpati dengan pergelutan Mane untuk beraksi di Qatar.

“Saya tidak fikir dia akan bermain (menentang Belanda),” kata ketua pasukan The Oranje itu kepada pemberita.


"Saya berasa sedih terhadapnya. Saya tidak gembira dalam soal ini kerana saya pernah berada dalam situasi di mana saya terlepas Euro.

“Kami sebagai pemain bekerja keras untuk sampai ke peringkat ini dan dia telah menjadi tokoh penting dalam pasukan negaranya.

"Saya tahu dia akan mempamerkan keberanian, tetapi ia sukar dan saya berasa kasihan kepadanya."