Semangat Cristiano Ronaldo kini berkobar-kobar berikutan berjuta-juta orang memandang tinggi kepadanya menjelang Piala Dunia Qatar 2022 selepas wawancara kontroversinya dengan Piers Morgan disiarkan.

Temu ramah yang disiarkan di TalkTV, Ronaldo berusaha keras untuk menamatkan penghijrahan keduanya di Manchester United.

Di antara pelbagai topik, Ronaldo membincangkan perasaannya "dikhianati" oleh kelab itu selain tidak menghormati pengurus, Erik ten Hag -- malah dia menyasarkan bekas rakan sepasukannya, Wayne Rooney.

Ronaldo berdepan digugurkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu Januari depan walaupun buat masa ini tumpuannya terarah kepada mengetuai Portugal di Qatar sambil mereka akan membuka kempen mereka di negara teluk berkenaan bermula menentang Ghana, tengah malam Jumaat ini.

Iker Casillas kemudian membela bekas rakan sepasukannya di Real Madrid itu kelmarin apabila memberitahu Marca bahawa dia sentiasa ingin memiliki khidmat pemain berusia 37 tahun berkenaan dalam pasukannya, malah percaya Ronaldo adalah calon pemenang Kasut Emas kempen di Qatar sambil mencadangkan pengkritiknya terlalu mudah lupakan pencapaian bintang Portugal tersebut.

Dalam sidang akhbar di pangkalan latihan Portugal hari ini, Ronaldo berkata: "Saya bersetuju dengan pendapat Casillas dan saya berharap dapat membuktikan bahawa kami mampu memadam segala kritikan itu.

"Terdapat berjuta-juta orang yang menggemari saya. Itulah yang mendorong saya. Tiada wang yang mampu membelinya. Ia membawa kegembiraan buat kanak-kanak.



"Ia bergantung kepada pihak anda (media). Kadang-kadang anda menulis tentang kebenaran, adakala anda menulis pembohongan.

"Saya tidak perlu risau dengan pendapat orang lain. Saya bercakap apabila saya mahu.

"Kakitangan, pemain, semua orang mengenali saya, mereka tahu apa yang saya fikirkan, mereka mengenali saya sejak saya berumur 11 tahun, mereka tidak akan dipengaruhi oleh apa yang pengkritik katakan."