Skip to main content

Sukan

LHM: TNB Thunderstars turun berbekalkan reputasi besar hadapi Piala Sumbangsih

hoki

Tenaga Nasional Berhad (TNB) Thunderstars memulakan buruan kejuaraan treble Liga Hoki Malaysia (LHM) 2026 dengan perlawanan Piala Sumbangsih bertemu Terengganu Hockey Team (THT) di Batu Buruk, Sabtu ini.

TNB kekal dengan taruhan import, Jang Jong Hyun, buat musim ketiga berturut-turut disamping merekrut majoriti pemain daripada skuad The Speedy Tigers.

Advertisement

TNB Thunderstars memiliki 16 pemain berstatus pemain kebangsaan serta satu import.

Setiap pasukan dibenarkan membariskan lapan kebangsaan dalam kesebelasan utama termasuk import untuk peraturan baru yang berkuat-kuasa musim ini.

Berdasarkan status skuad TNB, ini merupakan skuad paling ramai dibarisi pemain kebangsaan dalam sejarah pasukan bagi menguatkan lagi status pasukan pilihan musim ini.

Jong Hyun bukanlah asing dalam LHM, pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan itu meledak 168 gol sejak 2016 bersama Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), THT dan TNB selain muncul juara liga sebanyak tiga kali.

"Ini tahun ketiganya bersama TNB, sebelum ini dipanggil semula Korea Selatan untuk bermain untuk kelayakan Piala Dunia yang berlangsung di Chile tapi mereka tidak layak.

"Kami juga memantau prestasinya di Korea Selatan dan dia masih layak lagi untuk menyertai kami.

"Kelebihannya biarpun bukanlah atas kemahiran yang tinggi, tapi ketepatan hantarannya membuatkan TNB (mahu) menggunakan khidmatnya," kata ketua jurulatih TNB Thunderstars, Mohamed Madzli Ikmar, hari ini.

Sementara itu, penyandang juara, THT, bergantung harap kepada kelibat tiga pemain import, Keenan Craig Horne, Dilraj Singh di jentera serangan serta Samkelo Mvimbi di bahagian tengah.

Keenan dan Dilraj bakal melakukan penampilan sulung dalam LHM tatkala Samkelo merupakan tonggak utama kejuaraan treble musim lalu.

"Kami sedikit terjejas (terutama) di bahagian depan dengan ketiadaan Akhimullah (Anuar Esook) jadi kami ambil pemain import untuk menampung kehilangannya dan sudah sebulan kami menjalani beberapa muka baru dipersiapkan," kata penolong pengurus THT, Wan Mohd Hazrul Wan Nawi.
 

Must Watch Video