Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzudddin Rumsani, kandas dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) apabila tewas kepada wakil Thailand, Chaloempon Charoenkitamorn-Worrapol Thongsanga, di Pusat Sukan Olimpik Ningbo malam tadi.
Turun selaku pilihan ketujuh, Fei-Din diberikan kesukaran sejak pukulan pertama dan biarpun berhasil mengikat kedudukan 17-17, mereka tidak dapat mematikan langkah lawan untuk akhirnya akur tewas 22-24.
Advertisement
Aksi kian getir dalam set kedua dengan tiada mana-mana beregu dapat mempamerkan penguasaan tetapi kali ini, ketika mata sekali lagi terikat di kedudukan 17-17, wakil negara itu lebih tenang untuk mengheret aksi ke set penentuan hasil kemenangan 21-18.
Bagaimanapun, seakan-akan ada yang tidak kena dengan prestasi mereka dalam set ketiga, di mana Fei-Din tidak pernah berada di depan dan bergelut untuk mendapatkan mata untuk akhirnya akur tersingkir dengan kekalahan 11-21 selepas secara keseluruhan bertarung selama sejam dan 4 minit.