Lionel Messi menamakan Brazil, Perancis dan England sebagai pilihannya untuk menjuarai Piala Dunia di Qatar.

Pemilik tujuh Ballon d'Or itu akan beraksi dalam edisi Piala Dunia kelimanya tahun ini untuk membantu Argentina meraih kemenangan pertama mereka dalam kejohanan berkenaan sejak 1986.

Messi dinamakan Pemain Terbaik Kejohanan ketika Argentina mara ke final Piala Dunia 2014, tetapi bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu percaya pasukan lain juga akan menuju ke Qatar di kedudukan yang lebih baik daripada Albiceleste.

“Setiap kali kami bercakap tentang calon juara, kami sentiasa bercakap tentang pasukan yang sama,” kata Messi kepada Persekutuan Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL).

“Jika saya perlu meletakkan beberapa nama, saya rasa Brazil, Perancis dan England sedikit menyerlah daripada pasukan lain.

"Tetapi Piala Dunia sangat sukar dan rumit hinggakan apa juga boleh berlaku."




Keenam-enam gol Messi dalam Piala Dunia setakat ini disumbat di peringkat kumpulan dan dia menemui penyudah dalam 756 minit permainan pusingan kalah mati temasya itu.

Bagaimanapun, Messi berada dalam prestasi terbaik ketika Argentina menamatkan saingan sebagai naib juara kepada Jerman lapan tahun lalu apabila menyumbang kepada 63 peratus gol pasukannya dalam kempen di Brazil (empat gol dan satu bantuan jaringan).

Dia percaya pasukan kendalian Lionel Scaloni itu mampu berkembang dalam kejohanan kali ini.

"Kami sangat teruja. Kami mempunyai kumpulan yang sangat bagus yang sangat bersemangat, tetapi kami fikir satu persatu," katanya lagi.

"Kami berharap untuk memulakan Piala Dunia dengan cara terbaik untuk menghadapi segala-galanya selepas itu. Lebih kerap anda beraksi dan lebih banyak masa yang anda luangkan di padang, lebih banyak anda mengenali satu sama lain."

Argentina memulakan kempen Kumpulan C menentang Arab Saudi, Selasa depan, sebelum berdepan Poland dan Mexico.