Diego Maradona percaya Piala Dunia 2018 masih lagi mampu menjadi kejohanan buat bintang Argentina, Lionel Messi.

Argentina berhempas-pulas untuk mara ke pusingan 16 di Russia dengan memerlukan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Nigeria untuk menghuni tangga kedua Kumpulan D.

Di bawah tekanan bagi mengejar kejuaraan dalam kejohanan utama bersama Argentina, Messi meledak gol sulung bagi saingan Russia 2018 ketika meraih kemenangan itu.

Maradona, legenda Argentina yang menjuarai Piala Dunia 1986, berasakan tahun ini mampu menjadi milik Messi ketika negaranya membuat persiapan untuk berdepan Perancis, malam ini.

"Ya, sememangnya ia mampu menjadi milik Messi," kata Maradona.

"Segala-galanya baru sahaja bermula. Argentina akan mula bermain selepas ini.

"Tiada pasukan boleh berundur lagi. Semuanya akan menyerang," tambahnya.

Legenda berusia 57 tahun itu turut mencipta nama di Russia selepas mengalami masalah kesihatan ketika menyaksikan kemenangan Argentina ke atas Nigeria.

Beliau meramalkan Argentina akan bertemu Sepanyol dalam final.

"Saya mahu menyaksikan kedua-dua pasukan ini bertemu dalam final. Tetapi, perjalanan masih jauh.

"Saya menghormati Perancis dan Sepanyol yang bakal mencipta kemenangan ke atas Russia.

"Setiap pasukan mampu muncul juara, mereka perlu membuktikannya."