Angel Di Maria gusar seandainya dia masih belum melakukan yang terbaik untuk menjamin tempatnya dalam skuad Argentina menjelang Piala Dunia Qatar pada November depan berikutan ketidaktentuan masa depannya di peringkat kelab.

Pemain berusia 34 tahun itu masih belum menyertai mana-mana pasukan selepas meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) secara ejen bebas, sekali gus menamatkan hubungan tujuh tahunnya dengan kelab berkenaan.

Dia dikaitkan untuk menyertai beberapa pasukan dan kelab gergasi Serie A, Juventus, dilaporkan hampir pasti dapat mengikat kesepakatan selama setahun bersama bekas pemain Manchester United dan Real Madrid itu.

Awal minggu ini, ketua jurulatih baru Rosario Central, Carlos Tevez, mendedahkan bahawa dia berminat untuk membawa pulang Di Maria ke kelab Argentina berkenaan.

Di Maria, bagaimanapun, tidak mempunyai banyak masa untuk menentukan masa depannya sebelum Piala Dunia Qatar membuka tirai pada 21 November depan, di mana Argentina akan berdepan Arab Saudi, Mexico dan Poland dalam Kumpulan C.

Dan walaupun memainkan peranan penting ketika membantu negaranya dalam pusingan kelayakan dengan sumbangan tiga gol, pemain tengah itu enggan mengambil mudah peluangnya untuk mengisi senarai 26 pemain ke karnival bola sepak terbesar berkenaan.

"Satu-satunya pemain yang sudah terjamin tempatnya hanyalah Lionel Messi," kata Di Maria, yang telah beraksi dalam tiga edisi Piala Dunia, kepada TNT Sports.

"Anda tidak tahu apa yang akan berlaku empat bulan dari sekarang.

"Saya perlu mencari kelab baru, kembali menyesuaikan diri, bermain dan berasa baik -- itulah yang akan menjadi penentunya," katanya.