Skip to main content

Bola Sepak

Piala Belia: TFC IV sasar kekal rekod tanpa kalah, juarai kumpulan

tfciv.jpg
Selepas mengesahkan slot lebih awal ke suku akhir, skuad Piala Belia Terengganu FC (TFC) IV kini mahu menjadikan juara Kumpulan A sebagai sasaran terbaru mereka.

Unggul dengan pungutan 35 mata daripada 15 perlawanan, TFC IV menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum tewas musim ini, sekali gus menggambarkan kekuatan pasukan kendalian Subri Sulong itu.

Dengan kekebalan benteng pertahanan hanya dibolosi lima kali, jentera serangan mereka juga telah meledak 27 gol, termasuk kemenangan 5-0 ke atas Pulau Pinang, petang semalam.

Selaku bekas pemain pertahanan Terengganu, Subri sudah pasti memiliki ramuan terbaik merencana skuad masa depan negeri itu dalam misi merangkul Piala Belia 2018.

"Kami masih tidak boleh berasa selesa kerana perjalanan masih panjang, terutama bagi pemain-pemain muda ini.

"Cabaran di peringkat kumpulan agak berbeza berbanding peringkat kalah mati, jadi kami perlu sentiasa fokus," jelasnya.

Perlawanan seterusnya berdepan pasukan di tangga kedua, PKNS FC, 18 Julai depan, kata Subri, mahu dimanfaatkan untuk meraih kemenangan, seterusnya muncul juara kumpulan.

"Barisan serangan perlu lebih berkesan memandangkan mereka masih terlalu gopoh dalam melakukan penyudah," tambahnya.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)
 

Advertisement

Must Watch Video