Skip to main content

Bola Sepak

Piala Belia: Jelius tagih kudrat pemain

piala-belia-sabah.jpg

Pengendali skuad Piala Belia Sabah, Jelius Ating, menagih kudrat kesemua pemainnya untuk berjuang habis-habisan apabila mereka turun menentang Kelantan dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Likas, malam esok.

Bekas 'Orang Besi' Sang Badak itu yakin dan percaya pasukannya memiliki kualiti yang cukup untuk mengatasi difisit satu gol selepas tewas 0-1 di gelanggang lawan, awal bulan ini.

"Kami mahu menang dan kami harapkan akan menang dengan jaringan sekurang-kurangnya dua gol tanpa balas, sekali gus melayakkan diri ke separuh akhir.

"Persiapan pasukan setakat ini berjalan lancar untuk perlawanan penting ini dan saya gembira kerana kesemua pemain menunjukkan sikap positif.

"Kesemua pemain kini sangat bersemangat dan saya harap siapa pun yang akan bermain esok akan beraksi sepenuh hati sepanjang permainan," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius berkata pemain juga perlu mengambil peluang beraksi sebagai tuan rumah kerana sorakan 'pemain ke-12' pastinya menaikkan lagi semangat mereka.

"Saya yakin dengan kebolehan skuad Piala Belia Sabah pada tahun ini dan bagi saya, inilah masa terbaik mereka (pemain) untuk membuktikan keupayaan masing-masing, sekali gus membuka peluang untuk beraksi dengan pasukan negara." katanya sambil menambah kesemua pemainnya boleh beraksi pada malam esok kecuali Even Wensley Wenceslaus yang menjalani penggantungan.

Untuk rekod, pasukan Piala Belia Sabah mengharungi kempen memberangsangkan pada pusingan awal apabila mengatasi sembilan pasukan lain untuk menjuarai Kumpulan A.

Pada peringkat kumpulan, Sabah mencatatkan 11 kemenangan, tiga seri dan empat kekalahan selain menjaringkan 35 gol dan bolos sebanyak 18 kali.

 

Advertisement

Must Watch Video