Skip to main content

Bola Sepak

Piala Asia: Hadap sahaja Korea Selatan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

harimau-malaya.jpg
Malaysia perlu mempunyai satu struktur pembangunan dinamik bagi mewujudkan budaya bola sepak yang sistematik bermula dari peringkat akar umbi sehingga ke tahap tertinggi bergelar sebagai pemain elit dan profesional.

Jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan, berkata ia meliputi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam usaha membina rantaian pemain dari peringkat usia muda sehingga senior.

Beliau berkata Piala Asia Qatar 2023 menjadi pentas terbaik buat Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon untuk menilai semula prestasi keseluruhan pasukan meliputi keupayaan pemain, taktikal dan aksi persahabatan antarabangsa.

“Perjuangan Malaysia bukan semata-mata di Qatar tapi perjalanan kita masih panjang, termasuk bersaing dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Selepas berakhir Piala Asia, kita perlu berbincang apa langkah selepas ini.

"Saya percaya dengan barisan kejurulatihan yang ada, pakar-pakar dan input daripada semua pihak, kita mampu mencari solusi terbaik memajukan bola sepak negara,” katanya.

Beliau menjelaskan, menjelang aksi terakhir Kumpulan E menentang pasukan Piala Dunia, Korea Selatan, pada Khamis ini, skuad negara wajar memberikan aksi terbaik untuk melakar keputusan positif.

“Atas kertas memang sukar, namun perlu ubah cara fikir.

"Andai rasa kalah, itulah hasil.

"Beri saingan sengit untuk lihat hasil yang lebih baik.

"Bermain macam biasa, soal taktikal terserah kepada barisan kejurulatihan,” katanya.

Wan Jamak turut melihat keperluan untuk mempelbagaikan peringkat usia pemain dalam pasukan negara sebagai pendedahan dan kesinambungan skuad untuk masa depan.

“Misalnya Jepun dan Korea Selatan, mereka mempunyai kelompok pemain muda berusia 23 tahun ke bawah dengan jumlah yang besar.

"Bersedia bila-bila masa untuk diserap ke dalam skuad senior,” katanya.

Sebagai pelan jangka panjang, beliau melihat pembangunan akar umbi di peringkat usia muda perlu terus diperkasa dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Budaya bola sepak pada usia lapan hingga belasan tahun wajar dimantapkan.

"Bakat mereka perlu dicungkil dan digilap.

"Mereka merupakan generasi pelapis yang bakal mengalas cabaran negara di peringkat tertinggi pada masa depan,” katanya.

--Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video