Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Piala Airmarine: Oman sasar status juara

1004270.jpg
Ketua jurulatih Oman, Erwin Koeman, menyasarkan untuk menjuarai Piala Airmarine dalam kejohanan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang bermula esok.

Warga Belanda berusia 57 tahun itu, yang mengambil alih pasukan Al-Ahmar (Pasukan Merah) selepas peletakan jawatan rakan senegaranya, Pim Verbeek, meletakan harapan tinggi terhadap pemainnya untuk mencontohi pencapaian terakhir mereka ketika Piala Asia 2019 dalam kejohanan yang pertama kali mereka sertai itu.

“Pada saya, kejohanan ini amat penting bagi menilai prestasi setiap pemain dalam dua perlawanan yang akan kami bermain disebabkan saya tidak mengetahui banyak mengenai pemain kerana baru lima hari mengambil alih jawatan ini daripada Verbeek.

“Tiada alasan untuk saya. Saya suka pasukan saya menang kejohanan ini, sama seperti pasukan lain, termasuk Afghanistan. Kami perlu ada mentaliti kemenangan dan kami di sini untuk menang piala ini,” katanya dalam sidang media pra-kejohanan, hari ini.

Sementara itu, ketua jurulatih Afghanistan, Anoush Dastgir, berkata Piala Airmarine merupakan antara medan untuk dia menilai prestasi pemainnya sebelum mengambil bahagian dalam kelayakan Piala Dunia FIFA 2022 yang bermula Jun depan.

“Kami anggap kejohanan ini amat penting kerana ia menawarkan mata untuk ranking FIFA. Kami senaraikan pemain terbaik kami dan kami memang menunggu perlawanan menentang Oman esok,” katanya.

Anoush juga berkata pemainnya telah melalui dua latihan pusat di Turki selain bermain dalam lima perlawanan persahabatan sebelum menyertai Piala Airmarine.

Kedua-dua pasukan akan bermain dalam semi-final pertama pada jam 4.30 petang sebelum perlawanan Malaysia dan Singapura dalam semi-final kedua, jam 8.45 malam.

Pasukan yang kalah akan bertemu bagi menentukan tempat ketiga/keempat manakala pemenang akan bertemu dalam perlawanan akhir. Kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung Sabtu ini.
 

Advertisement

Must Watch Video