Skip to main content

Bola Sepak

Piala AFF: Syahmi suka dalam duka

syahmi-safari.jpg
Suka dalam duka.

Demikian perasaan yang menyelubungi pertahanan negara, Syahmi Safari, apabila muncul watak penting ketika menyingkirkan Thailand, namun terlepas aksi final pertama Piala Suzuki AFF gara-gara insiden kad merah dalam perlawanan separuh akhir kedua di Bangkok, semalam.


Syahmi mencetuskan sensasi apabila meledak jaringan cantik dengan sepakan gemilang pada minit ke-28 bagi mengikat kedudukan 1-1.

Ia juga merupakan gol pertamanya dalam Kejohanan Piala Suzuki AFF.

Membantu kebangkitan Harimau Malaya untuk mengikat lawan, Syahmi, bagaimanapun, ditimpa malang apabila dilayangkan kad kuning kedua dalam masa kecederaan apabila tertampan bola dengan tangan dalam kawasan penalti.

Insiden berkenaan menyaksikan pertahanan Selangor itu digantung satu perlawanan, sekali gus terlepas perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa depan.

"Saya telah memberikan prestasi terbaik dalam perlawanan itu.

"Alhamdulillah, saya berjaya menjaringkan gol pertama bersama skuad kebangsaan.

"Malangnya, saya menjadi punca kepada sepakan penalti lawan di lewat permainan.

"Saya agak kecewa kerana tidak dapat beraksi dalam final pertama, namun saya yakin pengganti saya nanti akan turut memberikan aksi terbaik seperti yang diperlukan pasukan," katanya.

Sementara itu, penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha, kini menyamai rekod jaringan terbanyak pemain tempatan dalam Piala Suzuki AFF yang sebelum ini dipegang Safee Sali dan Indra Putra Mahayuddin dengan sembilan gol.

"Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi penjaring terbanyak kejohanan.

"Apa yang penting ketika ini adalah kejayaan sepasukan," katanya.

Advertisement

Must Watch Video