Skip to main content

Bola Sepak

Piala AFF: Harimau Malaya sasar momentum positif di Yangon -- Faisal Halim

harimau-malaya-faisal-halim.jpg
Penyerang sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim, tidak gentar memikul beban besar selaku penyerang yang mencetuskan gerakan berbahaya dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B, Piala AFF bertemu Myanmar, Rabu ini. 

Berdasarkan prestasi tekal yang dijelmakan ketika berdepan Kemboja dan Maldives dalam fasa persiapan,  Faisal mengingatkan rakan sepasukannya tentang objektif utama di Yangon adalah mengutip tiga mata berharga, bukannya kenduri gol semata-mata.

Faisal sedar tahap kemampuan skuad Myanmar ketika ini terbatas memandangkan pasukan kendalian Antoine Hey itu tewas 0-6 kepada Thailand dalam perlawanan pemanas badan, dua minggu lalu. 

Justeru, Faisal menyeru taruhan terbaik Harimau Malaya agar menjelmakan semangat juang tinggi demi mencari momentum positif untuk dibawa pulang ke tanah air bagi pertemuan dengan Laos, Sabtu ini. 

Apa yang penting, pemain yang diberi peluang beraksi harus mempertahankan kualiti penyudah serta kombinasi gerakan yang mampu menjerat barisan terakhir Myanmar.

"Gol bukan faktor yang kami pentingkan. Kami pentingkan macam mana untuk atasi tekanan dalam perlawanan.

"Kalau menang 1-0 pun dah cukup, sekurang-kurangnya tiga mata untuk bermain perlawanan kedua tanpa tekanan. 

"Kami perlu kerja keras dalam perlawanan pertama dan uji kekuatan sebenar," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum bertolak ke Yangon, hari ini.

Dalam pada itu, Faisal menyeru wajah baru Harimau Malaya menzahirkan keterujaan luar biasa menyarung jersi kebangsaan agar jangan sesekali memandang mudah cabaran Myanmar yang masih berduka atas kekalahan pada aksi terakhir pemanas badan.

"Saya harap karakter kami makin kuat, tidak kira dengan siapa kami berdepan. 



"Pemain yang diberi peluang perlu menggunakan kesempatan ini untuk berikan terbaik dan batu loncatan untuk masa depan pemain sendiri. 

"Ini masa sebenar untuk pemain buktikan bahawa kami layak dalam pasukan ini," katanya lagi. 




 

Advertisement

Must Watch Video