Skip to main content

Bola Sepak

Piala AFF: FAM mahu Harimau Malaya mara sejauh mungkin

harimau-malaya.jpg
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran Harimau Malaya untuk melangkah sejauh yang mungkin dalam kempen Piala AFF 2022 bermula esok.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, tidak menyatakan secara khusus bentuk sasaran berkenaan, namun yakin dengan kemampuan Harimau Malaya untuk mencipta kejayaan.

“Sudah semestinya harapan kita memang tinggi dan akan berusaha sebaik mungkin. Saya yakin dengan ketua jurulatih, Kim Pan-gon, dan barisan kejurulatihan lain, malah semangat pemain nampak sangat tinggi.

“Insya-Allah, mereka akan mampu melangkah jauh dalam kejohanan ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum skuad negara berlepas ke Yangon, Myanmar semalam.

Selepas berdepan Myanmar di Yangon petang esok, Malaysia dijadualkan untuk menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Disember, diikuti Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari ini.

Tambahnya, barisan pemain muda dan baru dalam skuad kebangsaan kali ini perlu menunjukkan prestasi terbaik bagi menggalas cabaran negara.

“Bagi FAM pula, kami sangat bertuah kerana mempunyai ramai pemain berkualiti untuk mewakili Harimau Malaya.

“Selepas kejohanan ini, kami akan serahkan kepada Pan-gon untuk menilai setiap pemain sebelum dibawa ke kejohanan lain pada masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Azman mengajak penyokong untuk sama-sama memberikan sokongan kepada Harimau Malaya apabila skuad negara beraksi menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 12,000 keping tiket telah terjual dan mengharapkan stadium dapat dipenuhi penyokong tempatan pada hari perlawanan berkenaan.

“FAM juga telah mendengar rintihan penyokong dan menurunkan harga tiket sebelum ini. Besar harapan kami agar penyokong dapat memenuhi stadium,” katanya lagi.


Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video