Faisal Halim mengambil pendekatan merendah diri biarpun menjadi penjaring tunggal skuad negara ketika menewaskan Myanmar 1-0 dalam perlawanan pertama Kumpulan B, Piala AFF di Yangon semalam.
Pemain sayap lincah itu memanfaatkan sepenuhnya umpanan lick Safawi Rasid untuk menewaskan penjaga gol lawan pada minit ke-52, sekali gus memastikan Harimau Malaya menamatkan badi tanpa kemenangan di Stadium Thuwunna.
Bagaimanapun, Faisal memberikan kredit sepenuhnya buat seluruh rakan sepasukannya dalam memastikan kejayaan itu.
"Syuku Alhamdulillah. Bukan saya yang membawa pasukan kita mendapatkan tiga mata kerana seluruh pasukan sudah berusaha dan akhirnya saya mendapat peluang," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Terima kasih kepada rakan-rakan yang berjuang sehingga ke minit akhir.
"Walaupun kita menganggap perlawanan ini sepatutnya mudah tetapi perkara sebaliknya berlaku, di mana kedua-dua pasukan bermain dengan tempo yang amat tinggi.
"Tetapi inilah bola sepak, siapa yang menjaringkan gol, dia akan menang," katanya.
Muzaffar Musa
Thu Dec 22 2022