Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Piala AFF B-19: Jaringan Shivan tingkat semangat pasukan

malaysia.jpg
Pertahanan skuad B-19 negara, Shivan Pillay Asokan, menganggap jaringan pertamanya ketika menewaskan Kemboja 2-0 dalam kempen Piala AFF B-19 semalam umpama suntikan semangat kepada rakan sepasukan untuk lebih teruja mencetak lebih banyak peluang selepas menyedari pada awal permainan Malaysia gagal bermula dengan baik.

Mengakui Malaysia tidak melewati permulaan permainan yang bagus, namun realiti yang mahu ditekankan Shivan ialah situasi itu berubah sebaik jaringan pertama terhasil pada minit ke-41.

Ia bukan untuk mendabik dada, namun hakikat aksi awal sering di luar prestasi sebenar adalah perkara normal yang sering berlaku kepada mana-mana pasukan.

"Kami mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan situasi tetapi apabila kami menjaringkan gol awal, ia adalah bonus untuk pasukan.

"Saya menjaringkan gol dalam 45 minit pertama dan ia membina momentum kami untuk separuh masa kedua. Diharapkan kemenangan ini dapat diteruskan," katanya.

Ia satu jaringan kegemaran Shivan yang terhasil menerusi tandukan walaupun hakikatnya dia bermain sebagai pertahanan.

Tegas pemain peranakan India-Cina ini, jaringannya semalam merupakan jaringan pertamanya di pentas antarabangsa tahun ini selepas kali pertama ketika saingan Kejohanan AFC B-19 menentang Indonesia di Korea Selatan tahun lalu.

"Saya juga menjaringkan gol menerusi tandukan dan saya suka melakukan dengan cara itu. Saya hanya berusaha untuk memanfaatkan peluang menjaringkan gol.

"Ini adalah jaringan kedua saya di peringkat antarabangsa," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video