Walaupun bermain dalam hujan yang lebat, ia tidak menghalang Sabah memberikan aksi yang cemerlang dalam perlawanan pertama Kumpulan H, Piala AFC 2023 ketika bertemu Haugang United dan telah mencipta kemenangan dengan selesa.
Kita boleh lihat bagaimana kesungguhan yang dipamerkan oleh setiap pemain The Rhinos dari minit pertama hingga berjaya mendominasi perlawanan dan berjaya melakukan jaringan pada awal minit permainan melalui tadukan Gabriel Peres.
Bukan mudah apabila bermain di padang yang sedikit ada takungan air kerana ia memerlukan kekuatan fizikal dan mental apabila pergerakkan mereka agak terhad disebabkan jersi yang basah, namun itu tidak menggangu konsentrasi anak didik Datuk Ong Kim Swee walaupun percaturan asal sudah lari.
Dengan kreativiti pemain-pemain Negeri di Bawah bayu itu, mereka berjaya menekan lawan sehingga berjaya mendapatkan sembilan rembatan tepat dan berjaya melakukan jaringan melalui sepakan percuma.
Usaha yang gigih dipamerkan setiap pemain Sabah, terutama Darren Lok, perlu diberikan pujian kerana dengan kerja keras membuka larian dan berusaha menempatkan dirinya di posisi yang tepat, terutama didalam kawasan penalti itu yang memberi ruang kepadanya untuk menjaringkan dua gol.
Sebagai seorang penyerang ‘the poacher’, itulah peranan yang dimainkan, di mana bijak dalam mencari ruang dan peluang untuk menjaringkan gol atas sebab itu Darren Lok dinobatkan sebagai pemain terbaik pada perlawanan itu oleh pengurusan Sabah FC.
Kemenangan ini pasti akan meningkatkan keyakinan setiap pemain-pemain Sabah untuk terus memberi persembahan terbaik di Piala AFC walaupun akan berdepan di tempat lawan selepas ini.
Bagi Datuk Ong Kim Swee, sudah tentu ia melegakannya walaupun setiap apa yang dirancangnya kemungkinan tidak menjadi disebabkan permukaan padang yang ditakungi air akibat hujan lebat tetapi ini akan menjadi pengajaran dan pengalaman yang berguna untuk jurulatih itu serta pemainnya untuk lebih bersedia dalam apa keadaan sekali pun.
Hasnizam Uzir
Fri Sep 22 2023