Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Piala AFC: Adisak Kraisorn wira kebangkitan Terengganu ikat Stallion Laguna

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

adisak-tfc-afc-cup.jpg
TERENGGANU FC 2 STALLION LAGUNA FC 2

Terengganu bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat kelab Filipina, Stallion Laguna, dalam perlawanan Kumpulan G, Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebentar tadi.

Jaringan dramatik Adisak Kraisorn dalam waktu kecederaan memastikan skuad Peteh itu mengelakkan kekalahan pertama dalam kejohanan berkenaan.

Terengganu tidak tewas dalam dua perlawanan pertama saingan peringkat Asia berkenaan, di mana mereka menewaskan kelab Australia, Central Coast Mariners, 1-0 sebelum mengikat Bali United 1-1 di laman lawan.

Bagaimanapun, berdepan kelab tercorot kumpulan itu, skuad Peteh berkenaan dikejutkan dengan dua gol pelawat dalam babak pertama, masing-masing menerusi penyudah Griffin McDaniel seawal minit keenam dan Junior Ngong Sam pada minit ke-41.

Sony Norde berhasil merapatkan jaringan buat tuan rumah sebelum menuju ke bilik persalinan, di mana dia memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gawang lawan susulan percubaan awal Ivan Mamut.

Sang Penyu kemudian melakukan segala-galanya untuk mendapatkan jaringan penyamaan dalam babak kedua tetapi deretan pertahanan di depan gawang lawan menyukarkan usaha mereka.

Namun, kemasukan Adisak Kraisorn jelas memberikan impak buat mereka apabila pemain import dari Thailand itu melonjak tinggi untuk menanduk masuk lintangan Sony Norde dari sebelah kiri dalam waktu kecederaan.

Dengan keputusan itu, Terengganu kekal di tangga kedua Kumpulan G dengan lima mata dan ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Central Coast Mariners.

Stallion, dalam pada itu, kekal di tangga terbawah dengan satu mata dan dibezakan tiga mata dengan Bali United di tangga ketiga.

Kedua-dua pasukan itu akan kembali bertemu Stadium Binan pada 8 November ini.
 

Advertisement

Must Watch Video