Skip to main content

Bola Sepak

Pestabola Merdeka: TMJ tawar SSI untuk aksi final

malaysia-vs-india.jpg
Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menawarkan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri untuk digunakan bagi aksi final Pestabola Merdeka pada Selasa ini.

Tunku Ismail berkata terpulang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membuat keputusan dan SSI bersedia untuk digunakan menjelang aksi final melibatkan Malaysia dan Tajikistan itu.

"FAM kalau nak pakai SSI cakap, saya siapkan," kata Tunku Ismail dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Stadium Nasional, Bukit Jalil, yang mendapat padang baru selepas ditanam rumput Zeon Zoysia menerima kritikan selepas rumput berkenaan tercabut di beberapa bahagian dalam perlawanan Malaysia menentang India malam tadi.

Ia sekali gus menggangu permainan kedua-dua pasukan dan tampak belum bersedia serta memerlukan masa sebelum boleh digunakan dalam sesuatu perlawanan.

Sebelum ini, Tunku Ismail berkenan menyempurnakan perasmian padang baru Stadium Nasional sehari sebelum perlawanan di antara Malaysia dan India berlangsung.

Tunku Ismail, yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata telah memberikan pandangan bahawa padang itu perlu lebih masa sebelum digunakan.

"Semasa majlis penyerahan padang, saya cakap kepada semua yang padang ini perlu lebih masa kerana akar belum kuat. Saya juga sampaikan kepada semua yang berada di situ yang padang tersebut akan terkopak esok semasa perlawanan.

"This is the proven product. Dah terbukti. Tetapi kena jaga betul betul. Tiada beza. Rumput sama, kontraktor sama. Beza dia di SNBJ tak ada TMJ di situ, itu sahaja," katanya lagi.

-- Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video