Skip to main content

Bola Sepak

Perubahan taktikal beri Kedah tiga mata

paulo-rangel.jpg
Perubahan formasi serta taktikal di bahagian serangan dan pertahanan membolehkan Kedah meraih tiga mata penuh apabila menewaskan Kelantan 1-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman, malam tadi. 

Pengurus pasukan Kedah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin, berkata pasukannya yang dibarisi kebanyakan pemain muda itu bijak memanfaatkan percaturan ketua jurulatih, Mohd Nidzam Adzha Yusoff, bagi menebus semula kekalahan pasukan itu di tangan Kelantan, Selasa lalu. 

"Walaupun turun sebagai pasukan pelawat di laman sendiri, kejayaan ini mengembalikan semula keyakinan dan motivasi pemain untuk bertemu Kuala Lumpur pada 20 Jun ini serta memperbaiki kedudukan dalam liga," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan malam tadi.

Dia berkata pujian harus diberikan kepada semua pemain yang bertungkus-lumus menjaga kubu daripada dibolosi pihak lawan dan pada masa sama melakukan serangan berbahaya ke kubu Kelantan, terutama dalam babak kedua permainan. 

Selain itu, dia turut menjelaskan penjaga gol baru Kedah, Ramadhan Hamid, yang beraksi cemerlang dan tenang dalam penampilan pertamanya menjaga gawang hingga tamat 90 minit permainan turut menyumbang kemenangan kepada pasukan malam tadi.

Mengulas prestasi pemain import, Paulo Rangel, yang dilihat masih tercari-cari rentak permainan, Syed Khairul Anuar berkata pemain itu masih baru untuk dinilai keupayaannya bermain dengan pasukan dan berharap peluang diberikan untuk dia membuktikan keupayaannya sebagai penyerang. 

Sementara itu, pemangku ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mengakui Kedah bermain begitu baik sehingga menafikan tiga mata buat pasukannya. 

"Tahniah kepada pasukan Kedah dan tentu keputusan ini mengecewakan buat Kelantan yang bakal berdepan baki tujuh perlawanan yang rumit dalam usaha untuk kekal dalam liga. Apapun, kami kena bangkit selepas Aidilfitri ini bertemu PKNS FC," ujar Yusri.

Dia berharap pemain import baru dari Brazil, Cristiano Santos, yang mungkin bermain dalam perlawanan itu dapat meraih kombinasi yang baik bersama pasukan bagi meraih kemenangan. 

Dalam pertemuan malam tadi, Kedah menewaskan Kelantan 1-0 melalui gol Paulo Rangel dan meletakkan Kedah kekal berada di tangga keempat liga, berkongsi 24 mata dengan pasukan Perak dan Pahang manakala Kelantan berada di tangga terbawah dengan 11 mata. 


Kredit foto: Facebook Kedah FA - Persatuan Bolasepak Kedah

Advertisement

Must Watch Video