LIGA SUPER MSIA
Pertama kali saksikan Selangor tumbang di Kuantan
Bukanlah kali pertama saya menjejakkan kaki di Kuantan tetapi saya berasa ada kelainan di antara bercuti bersama keluarga dan tuntutan kerja.
Pengalaman bekerja di luar saya yang pertama sejak menyertai Astro Arena, terlalu banyak pengalaman berharga dan saya jadikan ia sebagai proses pembelajaran lagi-lagi dipasangkan bersama jurukamera, Azri atau kami menggelarnya sebagai Mamu.
Perjalanan kami bermula sedikit lewat -- bertolak sekitar jam 12 tengah hari -- atas sebab-sebab tertentu selain mengejar waktu untuk tiba awal di Kuantan kerana dijadualkan untuk membuat 'live cross' bersama hos di studio.
Iklan
"Sempat ke bang, kita nak sampai Kuantan sebelum cross pukul 3?" saya bertanya kepada Mamu.
Tetapi malangnya apakan daya, kami hanya mampu merancang Tuhan yang menentukan kami tiba satu jam lewat daripada waktu yang telah ditetapkan. Sedikit sebanyak itu adalah kekangan pertama kami ke Kuantan.
Keesokan harinya iaitu hari perlawanan tuan rumah menentang Selangor, setibanya kami di Stadium DarulMakmur saya sendiri terkesima dengan suasana stadium keramat buat skuad Tok Gajah memandangkan itu adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke situ.
Kemeriahan kehadiran penonton ketika itu boleh dikatakan 'full house' walaupun waktu perlawanan yang dijadualkan adalah pada jam 4 petang, cuaca terik tetapi beransur redup pada hujung minit perlawanan.
Sebagai seorang wartawan, menonton perlawanan bola sepak memberikan kepuasan maksima terhadap tuntutan tugas saya memandangkan sukan itu sudah pun sebati dalam diri sejak di bangku sekolah lagi.
Bersyukur semua urusan kami dipermudahkan sepanjang hari perlawanan. Selesai tugasan, barulah kami ada ruang untuk mengisi perut setelah separuh hari kami bertugas di stadium.
Pengalaman kali ini semestinya memberikan saya ruang untuk belajar lebih tentang bagaimana sebuah stesen televisyen beroperasi selain melihat suasana dan gelagat penonton di berlainan negeri.
Keesokannya, tibalah masa untuk kami berangkat pulang ke negeri asal, seperti biasa Mamu memulakan pemanduan berhemahnya manakala saya sudah pun dibuai mimpi sejak melangkah masuk ke dalam kereta lagi. Maklumlah, penat bekerja.
"Oh dah sampai dah..." seloroh saya ketika melihat bangunan Astro di Bukit Jalil.
Must-Watch Video