Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Selangor Royal Office sebentar tadi, telah memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan pasukan Selangor untuk tidak hadir ke Perlawanan Sumbangsih 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri malam esok.
Baginda, bagaimanapun, menzahirkan rasa kecewa kerana pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor supaya menangguhkan perlawanan berkenaan.
Selaku Penaung Selangor FC, Baginda berpandangan, susulan berlakunya beberapa insiden mengancam nyawa yang melibatkan pemain dan pegawai baru-baru ini, adalah bertepatan untuk pasukan Selangor tidak menyertai perlawanan berkenaan, yang juga merupakan aksi pertama Liga Super edisi ini.
Baginda bertitah, keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan pemain dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan.
Titah Baginda lagi, bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang melibatkan pemain sayap, Faisal Halim, juga harus diambil kira.
Justeru, Baginda turut menyokong solidariti untuk membanteras keganasan sukan dalam apa jua bentuk #standwithfaisalhalim #stoptheviolence.
Baginda mahu semua pihak memahami bahawa tahap keseriusan insiden yang melibatkan nyawa pemain sebegini adalah tidak sama dengan kes-kes sebelum ini, apatah lagi ia berlaku sangat hampir dengan tarikh perlawanan.
Baginda turut menegaskan bahawa Selangor sedia berdepan dengan apa jua tindakan, susulan daripada keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan ini.
Stadium Astro
Thu May 09 2024