Skip to main content

Bola Sepak

Perancangan Zidane berhasil -- Ramos

7318zinedine-zidane.jpg
Kapten Real Madrid, Sergio Ramos, memuji perancangan Zinedine Zidane selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi tadi.

Penyandang trofi Liga Juara-Juara (UCL) itu menggunakan kelebihan dalam aksi pertama (menang 3-1 di Santiago Bernabeu) dalam pertembungan di Parc des Princes.

Cristiano Ronaldo membuka jaringan pada minit ke-51 sebelum Casemiro meledak gol kemenangan ketika perlawanan berbaki 10 minit bagi memastikan kemenangan agregat 5-2, dengan Edinson Cavani menjaringkan gol sagu hati buat PSG yang terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Marco Verratti dilayangkan kad merah.

Zidane tidak mengambil risiko untuk menurunkan Luka Modric dan Toni Kroos kerana masih lagi dalam proses pemulihan daripada kecederaan masing-masing, dengan membariskan Mateo Kovacic dan Casemiro di bahagian tengah, manakala Marco Asensio dan Lucas Vazquez bertindak sebagai pemain sayap.

Asensio dan Vasquez bermain dengan cemerlang dan memainkan peranan penting dalam setiap gol, dan Ramos berasakan perancangan Zidane benar-benar berhasil.

"Kami berada di tahap terbaik dalam kejohanan kegemaran kami. Kami berjaya memulihkan semangat kami dan meraih kemenangan dalam perlawanan ini," kata Ramos.

"Perancangan jurulatih berhasil. Kami membuat persediaan mengikut gaya permainan lawan. Real memberikan tekanan dan banyak memintas bola dalam kawasan mereka.

"Zidane adalah individu yang berpengaruh dalam perlawanan ini kerana beliau mengetahui perkara yang terbaik buat pasukan," katanya.

Real mencari momentum dalam misi untuk muncul juara UCL buat kali ketiga-tiga berturut selepas gagal mempamerkan aksi konsisten dalam saingan domestik apabila ketinggalan 15 mata kepada pendahulu LaLiga, Barcelona.

Advertisement

Must Watch Video