Skip to main content

Bola Sepak

Perak sedia turunkan barisan simpanan

mehmet.jpg
Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, sedia mempertimbangkan khidmat pemain simpanan untuk baki perlawanan Liga Super bagi membolehkan tonggak utama berehat sebagai persiapan menghadapi final Piala FA, 27 Julai ini.

Pengendali dari Australia itu masih lagi berbelah-bahagi dalam menentukan kesebelasan utama bagi meneruskan saingan liga menjelang aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Ipoh, malam ini.

Biarpun fokus Perak cuba mempersiapkan satu barisan yang terbaik untuk final berkenaan, dia masih berharap dapat mencabar tempat kedua Liga Super memandangkan jarak mata antara beberapa pasukan tidak jauh.

"Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Masih ada empat perlawanan dan jika kami memenangi kesemuanya, kami berpeluang mendapatkan tangga kedua liga. Sebagai pengendali, saya sentiasa mahu menang, tidak kira ketika beraksi dalam mana-mana saingan," katanya.

Namun, situasi kini seakan-akan tidak memihak kepada bekas pengendali Selangor itu setelah khidmat Nor Hakim Hassan dan Kenny Pallraj tidak dapat digunakan kerana menjalani penggantungan sambil tahap kecergasan Nazirul Naim Che Hashim dan Amirul Azhan Aznan masih dipantau.

"Siapa yang akan bermain bergantung kepada sesi latihan terakhir. Saya akan pilih kesebelasan terbaik dan mahu memberikan semua orang peluang. Penggantungan Hakim akan berikan peluang buat pemain lain untuk turun beraksi."

Advertisement

Must Watch Video