Skip to main content

Bola Sepak

Penyokong mahu KAFA jujur isu kemelut KRW

penyokong-kelantan.jpg
Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) perlu bersikap jujur dalam isu penarikan diri syarikat My Inspiration Sdn Bhd yang bekerjasama dengan persatuan terbabit bagi menguruskan pasukan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors (TRW) Kota Bharu, Mohd Zainy Mohd Zain, berkata penjelasan KAFA amat penting kerana ia memberikan kesan kepada pemain serta penyokong. 

"Sekiranya benar kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif My Inspiration, Ahmad Fazli Mohammad, ini bermakna banyak perkara yang disembunyikan oleh Presiden KAFA (Bibi Ramjani Ilias Khan).

"Jika perkara itu benar-benar berlaku, tiada makna pengorbanan penyokong yang menghabiskan wang ringgit ke stadium untuk menyokong pasukan sedangkan pengurusan mengambil sikap sambil lewa dalam mengurus dan mentadbir persatuan dan pasukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khamis lalu, selepas hampir tiga bulan mengambil alih pengurusan bola sepak Kelantan daripada KAFA, My Inspiration Sdn Bhd yang menguasai 70 peratus saham Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd, mengumumkan pembatalan kerjasama dengan persatuan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Ahmad Fazli dilaporkan sebagai berkata keputusan itu diambil selepas My Inspiration Sdn Bhd hilang kepercayaan dan sabar terhadap persatuan tersebut yang tidak menghormati kontrak yang ditandatangani sebelum ini.

Mohd Zainy berkata penyokong tidak mahu kemelut itu berlarutan sehingga menjejaskan pasukan sebagaimana yang berlaku kepada Perlis yang menghadapi masalah kewangan, sekali gus menyebabkan mereka tersingkir daripada saingan Liga-M.

"Bagaimana dengan nasib pasukan selepas ini dengan ketiadaan penaja yang kukuh dan kewangan yang terumbang-ambing untuk pasukan bergerak?

"Menjadi situasi ngeri jika akan ada pasukan kedua selepas Perlis yang bakal disingkirkan daripada Liga Perdana. Bagaimana dengan nasib pemain pasukan Kelantan, dengan gaji tertunggak yang tidak diselesaikan, termasuk bekas pemain dan hutang lain, masalah ini pasti mengundang padah," katanya.

Katanya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pastinya sedang mengikuti dengan penuh minat kemelut yang melanda Kelantan ketika ini.

"Bola sepak merupakan sukan nombor satu di negeri ini dan diikuti rapat oleh rakyat tetapi kerana kelemahan pengurusan, pasukan Kelantan berkemungkinan bakal menjadi satu sejarah atau apakah akan ada pihak yang bersedia untuk membantu pada saat genting sekarang ini," katanya.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video