Arsenal serta Brighton & Hove Albion menjadi mangsa kesilapan ketara manusia dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), hujung minggu lalu, menurut badan yang bertanggungjawab mengatur pegawai perlawanan dalam bola sepak Inggeris, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL).

Gol penyamaan Ivan Toney di Stadium Emirates membolehkan Brentford mengikat perlawanan 1-1, tetapi jaringan itu tidak seharusnya diiktiraf berikutan Christian Norgaard -- yang menolak bola ke dalam gawang -- terlebih dahulu berada di kedudukan ofsaid.

Tinjauan video bantuan pengadil (VAR) oleh Lee Mason gagal mengesan posisi Norgaard walaupun semakan terhadap jaringannya itu adalah untuk mengenal pasti adakah Ethan Pinnock di kedudukan ofsaid.

Kelmarin, Brighton turut dinafikan gol kemenangan apabila usaha Pervis Estupinan dibatalkan oleh VAR kerana ofsaid selepas kesilapan pengadil yang tersalah perkiraan mengenai pertahanan Crystal Palace.




Satu kenyataan daripada berbunyi: "PGMOL mengesahkan ketua pengadil, Howard Webb, telah menghubungi Arsenal dan Brighton & Hove Albion untuk mengakui dan menjelaskan kesilapan ketara dalam proses VAR ketika perlawanan EPL pada Sabtu lalu.

"Kedua-dua insiden ini berpunca daripada kesilapan manusia sementara analisis berkaitan situasi ofsaid sedang disemak secara menyeluruh oleh PGMOL."

PGMOL, bagaimanapun, tidak mengulas mengenai kontroversi yang berlaku di Stadium London di mana Chelsea dinafikan sepakan penalti di hujung permainan selepas pemain West Ham, Tomas Soucek, menampan bola dengan tangannya ketika terjatuh di dalam kotak penalti.

Pengurus Chelsea, Graham Potter, selepas perlawanan secara sinis memuji Soucek kerana menyelamatkan percubaan itu dengan baik.